DEMI MASA
“Demi masa, sesungguhnya manusia itu
dalam kerugian kecuali orang yang beriman dan yang beramal soleh, mereka berpesan-pesan dengan kebenaran dan
berpesan-pesan dengan kesabaran”
Masa terus berputar dan tidak pernah berhenti. Kita
menjadi penghambat masa yang sering tercungap-cungap kepenatan. Hari terus
berlalu, namun kerja masih bertimbun. Hari ini tidak selesai, bawa ke hari
esok. Tapi jarum jam terus berputar tanpa menunggu kita.
Pejam celik pejam celik tanpa kita
sedari, kita semakin hampir dengan Ramadhan. Sedar atau tidak kita melalui
setiap bulan yang mempunyai pelbagai rahsianya yang mampu mendidik kita kearah
yang lebih baik. Adakah kita telah dapat mengambil manfaat dan tarbiyah yang
terdapat dibulan rejab dan syaaban ?
Cuba kita renung sejenak,masa kita
diatas dunia semakin singkat. Semakin dekat kepada masa kematian kita. Namun
adakah kita terfikir mungkin esok atau lusa, malaikat Izrail akan menjenguk
kita dan menjemput kita untuk bertemu Allah yang maha Esa. Sudahkah kita
menghitung amalan-amalan kita selama kita hidup didunia lebih dari 20 tahun. Cukupkah
amalan kita untuk bertemu-Nya.?
Kadang-kadang kita lupa malaikat Izrail
akan menjemput kita pada bila-bila masa. Kita hanya ingat orang yang telah tua
yang akan dahulu dijemput oleh-Nya. Sedangkan ajal setiap manusia telah
ditentukan oleh Allah tidak mengira muda atau tua. Kita jangan ingat, selepas berumur 60 tahun keatas barulah kita fikirkan
masa kematian kita. Berapa ramai kawan kawan yang seusia kita telah pergi
meninggalkan kita ? Renung- renunglah.
Mereka telah kembali kepada kuasa Yang
Maha Agung. Ini jelas kepada kita jarum jam mereka telah terhenti, mereka tidak
perlu lagi mengejar masa dunia seperti
kita. Maka tamatlah sebuah hikayat kehidupan diatas dunia bagi mereka, dan
mereka akan membuka sejarah baru dialam kubur sambil menunggu hari pengadilan
yang tiada siapa tahu kecuali Allah Taala.
Hari dimana seluruh manusia dari zaman
Nabi Adam sehingga ke akhir zaman iaitu zaman umat Nabi Muhammad saw
dikumpulkan dipadang Mashyar untuk disoal siasat. Sesi post mortem yang sungguh menakutkan. Dibedahkan segala
ketelanjuran, keegoan dan kedurjanaan kita diatas muka bumi. Ketika itu kita
akan berasa malu sehingga luruh seluruh daging-daging muka. Saat itu menangis
keluar air mata darah sekalipun tidak berguna, tidak boleh memutar kembali jam
kehidupan kita kerana segalanya sudah terlambat. Jarum jam taubat juga sudah
berhenti !.
Muhasabahlah diri
Muhasabahlah diri kita, saat jarum jam
kehidupan masih berputar. Walaupun ia telah meninggalkan detik semalam, kelmarin dan hari-hari sebelumnya. Seterusnya
ia akan melangkah ke hari, minggu, bulan dan
tahun yang akan menjadikan kita semakin berusia dan semakin tua
seterusnya meninggalkan usia kita
sekarang.
Jadi hitunglah jarum jam kita yang
masih tinggal menjadi semakin penting mulai saat ini. Setiap saat usia kita
cukup berharga dan bernilai. Tapi apa
nilainya kalau rutin kerja dan amalan kita seperti itu juga? Apa nilai cara
bekerja dan berfikir seperti dahulu? Tidak ada beza dahulu dan sekarang, tidak
ada pertambahan dari segala amalan.
Sepatutnya kita perlu berfikir
bagaimana cara untuk menambahkan nilai setiap amalan dan kerja yang kita
lakukan. Janganlah kita biarkan usia yang
berbaki ini menjadi daki-daki kotor yang bersalut dosa dan kemungkaran.
Sentiasalah kita muhasabah diri kita. Apakah
kita sudah bersedia atau belum untuk kembali bertemu pencipta kita?dan apakah
usaha-usaha kita untuk memberi nilai tambah kapada setiap kerja yang kita
lakukan?. Apakah ia menjadi ibadah atau sebaliknya.?
Marilah kita sama-sama memperbeharui dan
membetulkan niat setiap hari sebelum melangkah memulakan tugas harian.
Moga-moga setiap detik yang berlalu itu
menjadi ibadah di sisi Allah SWT.