Thursday, 22 May 2014

Muhasabah Sejenak

DEMI MASA
“Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang yang beriman dan yang beramal soleh, mereka  berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran”  

  


Masa terus  berputar dan tidak pernah berhenti. Kita menjadi penghambat masa yang sering tercungap-cungap kepenatan. Hari terus berlalu, namun kerja masih bertimbun. Hari ini tidak selesai, bawa ke hari esok. Tapi jarum jam terus berputar tanpa menunggu kita.
Pejam celik pejam celik tanpa kita sedari, kita semakin hampir dengan Ramadhan. Sedar atau tidak kita melalui setiap bulan yang mempunyai pelbagai rahsianya yang mampu mendidik kita kearah yang lebih baik. Adakah kita telah dapat mengambil manfaat dan tarbiyah yang terdapat dibulan rejab dan syaaban ?  
Cuba kita renung sejenak,masa kita diatas dunia semakin singkat. Semakin dekat kepada masa kematian kita. Namun adakah kita terfikir mungkin esok atau lusa, malaikat Izrail akan menjenguk kita dan menjemput kita untuk bertemu Allah yang maha Esa. Sudahkah kita menghitung amalan-amalan kita selama kita hidup didunia lebih dari 20 tahun. Cukupkah amalan kita untuk bertemu-Nya.?
Kadang-kadang kita lupa malaikat Izrail akan menjemput kita pada bila-bila masa. Kita hanya ingat orang yang telah tua yang akan dahulu dijemput oleh-Nya. Sedangkan ajal setiap manusia telah ditentukan oleh Allah tidak mengira muda atau tua. Kita jangan ingat,  selepas berumur 60 tahun keatas barulah kita fikirkan masa kematian kita. Berapa ramai kawan kawan yang seusia kita telah pergi meninggalkan kita ? Renung- renunglah.
Mereka telah kembali kepada kuasa Yang Maha Agung. Ini jelas kepada kita jarum jam mereka telah terhenti, mereka tidak perlu  lagi mengejar masa dunia seperti kita. Maka tamatlah sebuah hikayat kehidupan diatas dunia bagi mereka, dan mereka akan membuka sejarah baru dialam kubur sambil menunggu hari pengadilan yang tiada siapa tahu kecuali Allah Taala.
Hari dimana seluruh manusia dari zaman Nabi Adam sehingga ke akhir zaman iaitu zaman umat Nabi Muhammad saw dikumpulkan dipadang Mashyar untuk disoal siasat. Sesi post mortem yang sungguh menakutkan. Dibedahkan segala ketelanjuran, keegoan dan kedurjanaan kita diatas muka bumi. Ketika itu kita akan berasa malu sehingga luruh seluruh daging-daging muka. Saat itu menangis keluar air mata darah sekalipun tidak berguna, tidak boleh memutar kembali jam kehidupan kita kerana segalanya sudah terlambat. Jarum jam taubat juga sudah berhenti !.




Muhasabahlah diri 

Muhasabahlah diri kita, saat jarum jam kehidupan masih berputar. Walaupun ia telah meninggalkan detik semalam,  kelmarin dan hari-hari sebelumnya. Seterusnya ia akan melangkah ke hari, minggu, bulan dan  tahun yang akan menjadikan kita semakin berusia dan semakin tua seterusnya meninggalkan  usia kita sekarang.      
Jadi hitunglah jarum jam kita yang masih tinggal menjadi semakin penting mulai saat ini. Setiap saat usia kita cukup berharga dan  bernilai. Tapi apa nilainya kalau rutin kerja dan amalan kita seperti itu juga? Apa nilai cara bekerja dan berfikir seperti dahulu? Tidak ada beza dahulu dan sekarang, tidak ada pertambahan dari segala amalan.
Sepatutnya kita perlu berfikir bagaimana cara untuk menambahkan nilai setiap amalan dan kerja yang kita lakukan. Janganlah kita biarkan usia yang  berbaki ini menjadi daki-daki kotor yang bersalut dosa dan kemungkaran.
 Sentiasalah kita muhasabah diri kita. Apakah kita sudah bersedia atau belum untuk kembali bertemu pencipta kita?dan apakah usaha-usaha kita untuk memberi nilai tambah kapada setiap kerja yang kita lakukan?. Apakah ia menjadi ibadah atau sebaliknya.?  
Marilah kita sama-sama memperbeharui dan membetulkan niat setiap hari sebelum melangkah memulakan tugas harian. Moga-moga  setiap detik yang berlalu itu menjadi ibadah di sisi Allah SWT.    


3 comments:

  1. alhamdulillah...best penulisan ana sejak bila berjinak bidang penulisan nie??

    ReplyDelete
    Replies
    1. alhamdulillah, huhu ntah la...tetiba je nie...hehe lama2 update skali...

      Delete